Sunday 22 December 2013

Yusuf Taiyoob Raja Kurma

Kisah Kejayaan Yusuf Taiyoob
NAMA : Datuk Yusuf Taiyoob
JAWATAN : Pengarah Urusan Yusuf Taiyoob Sdn Bhd
ASAL : Georgetown, Pulau Pinang
UMUR : 52 tahun
ISTER I: Datin Yusnita Ramli
ANAK : Waseem (10), Safiya (7) dan Safina (4)
ADIK-BERADIK : Anak sulung daripada empat beradik
JENIS PERNIAGAAN : Kurma, makanan dalam tin, rempah, makanan kering dan jus buah-buahan

“Siapa tak kenal, kurma yang paling popular di Malaysia... berjenama Yusuf Taiyoob, iaitu bersempena dengan nama big big boss nya sendiri iaitu Datuk Yusuf Taiyoob. Asal nak bulan puasa, iklan mengenai kurmanya amat kerap berkumandang di mana-mana media. Hari-hari asyik dengar iklan Yusuf Taiyoob di radio dan TV.. Kalau akhbar tu xpayah cakap la.. siap full page lagi tu..”

Usahawan Islam yang sangat sinonim dengan produk kurma  ini bernama Datuk Yusuf Taiyoob, 53, yang memiliki empayar perniagaan sendiri bernama Yusuf Taiyoob Sdn Bhd.

Kesungguhan beliau untuk berjaya dalam bidang perniagaan sememangnya tidak dapat dinafikan. Zaman remaja beliau sudah bermandikan cabaran demi cabaran dalam dunia perniagaan. Bermula dengan penjualan minyak wangi di Lapangan Terbang Bayan Lepas, yang diadun sendiri oleh beliau ketika berumur 21 tahun, penerimaan pada peringkat awal adalah sangat memberangsangkan. Sehinggalah pada satu ketika, beliau jatuh sakit (muntah darah akibat pendarahan dalaman yang serius) akibat tekanan yang dihadapi dek kerana penjualan yang merudum teruk.

“Saya menghadapi banyak kesukaran dalam perniagaan pertama saya iaitu menjual minyak wangi. Pada masa itu saya berumur 21 tahun dan ada pihak langsung tidak memandang saya, tetapi saya bersyukur mendapat bantuan keluarga,” kata Datuk Yusuf Taiyoob.

Datuk Yusuf yang masih kelihatan muda dan bertenaga meskipun usia mencecah 52 tahun berkata, selepas gagal dalam perniagaan minyak wangi, beliau mencuba pelbagai perniagaan lain, termasuk mengedar produk bunga safron, biji gajus, makanan kering dan rempah.

Memang tidak dapat dinafikan, dugaan yang beliau hadapi, memberi kesan terhadap usahanya menjadi seorang usahawan berjaya. Namun, beliau nekad untuk menukar bentuk perniagaan yang lain dengan mengimport makanan termasuk kurma secara kecil-kecilan.

Walaupun menyedari wujud persaingan pada waktu memulakan perniagaan kurma pada 1990, beliau percaya sudah ada pelanggan tetap, selain harga berpatutan dengan jaminan produk berkualiti.

“Itu menyedarkan saya, apabila anda tiada kepentingan atau daripada syarikat kecil, orang tidak akan pandang langsung, malah anda akan ditendang ke sana ke sini,” kata bapa kepada tiga anak itu.

Lama-kelamaan, usahanya berhasil apabila perniagaannya berkembang maju dan produk keluarannya semakin popular termasuk di Singapura, Indonesia dan Thailand. Kini syarikat miliknya, Yusuf Taiyoob Sdn Bhd (Yusuf Taiyoob) menjadi pembekal terbesar pelbagai jenis kurma dan produk mentah makanan kering serta basah dari luar negara untuk pasaran di Malaysia dengan kira-kira 3,000 rangkaian pengedar di seluruh negara.
“Ini adalah pencapaian saya selepas 30 tahun bergelumang dalam perniagaan, apatah lagi saya bermula dari zero (kosong),” kata Datuk Yusuf Taiyoob secara ringkas sebaik saja beliau mempelawa wartawan dan jurugambar Metro Ahad memasuki ruang pejabat barunya di kawasan perindustrian Bukit Minyak, Seberang Prai Tengah, Pulau Pinang.

Menceritakan sejarah awal pembabitannya dalam perniagaan kurma, beliau pernah berdepan cabaran pertama apabila dua kontena (40 tan) kurma yang diimport dari Iran tidak berapa elok, namun beliau tidak panik. Ini menyebabkan Datuk Yusuf pergi ke Iran untuk menemui pengeluar kurma supaya tidak menghadapi masalah sama pada masa akan datang.

“Keadaan berubah apabila saya mempunyai lebih pengalaman berbanding pada awal pembabitan. Dulu, disebabkan percayakan pengeluar dan pembekal dari sana (Iran), akhirnya saya terkena,” katanya.

Beliau berkata, syarikatnya mengambil masa antara 10 hingga 12 tahun untuk dikenali sebagai pembekal kurma di negara ini, selain kurma edarannya turut menembusi pasaran di Indonesia, Singapura, Thailand dan Brunei.

Pada masa ini syarikatnya mengedar lebih 10 jenis kurma seperti Rotab Bam, Safia, Mariami, Safina, Ajwa, Jewel, Ajmal dan Anbara yang dijual pada harga berpatutan.

Kurma mempunyai tiga peringkat iaitu khalal (kurma muda), rotab (kurma madu) dan thamar (kurma kering) diperolehi dari Tunisia, Oman, Iran, Afrika Selatan, Arab Saudi, Mesir dan Jordan.

Kilang Yusuf Taiyoob bersebelahan Lebuh Raya Utara Selatan

Yang menarik, kompleks kilangnya terletak di lokasi strategik iaitu bersebelahan Lebuh Raya Utara Selatan, sekali gus ribuan pemandu tidak akan terlepas pandang melihat bangunan berwarna coklat cair itu dengan nama Yusuf Taiyoob terpampang besar di satu sudut.

Nama Yusuf Taiyoob memang tidak asing lagi di negara ini kerana sering dikaitkan dengan kurma, apatah lagi jika disebut nama seperti Safia, Wasem, Safina, Amina, Ajmal, Ajwa dan Kurma Madu Yuta.

Oleh itu tidak keterlaluan beliau layak digelar ‘Raja Kurma Malaysia’, malah anak sulung daripada empat beradik itu turut mengakui Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas, pernah memanggilnya dengan gelaran ‘Datuk Kurma’.

Dalam usaha memastikan semua produk edarannya dijamin berkualiti dan segar, beliau membelanjakan kira-kira RM5 juta untuk menggunakan teknologi terkini dalam mengendalikan stor simpanan sejuk bekunya.

Teknologi yang diimport dari Amerika Syarikat itu membolehkan sebarang kebocoran gas amonia dapat dikesan lebih awal. Sistem itu mampu memberi amaran awal secara automatik jika berlaku kebocoran.

Ketika ini kompleks itu memiliki enam stor simpanan sejuk yang mampu memuatkan kira-kira 7,000 tan barangan satu-satu masa dan dua stor simpanan kering untuk kira-kira 3,000 tan barangan.
Kilang terbesar Yusuf Taiyoob

Syarikat itu ketika ini mengimport antara 200 hingga 300 pelbagai jenis makanan daripada buah kurma, minyak zaitun, kacang dhal hingga kepada rempah ratus dari kira-kira 30 negara, antaranya Amerika Syarikat, Iran, Dubai, Afrika Utara dan Arab Saudi.

Bagi memastikan stok kurma mampu memenuhi permintaan pasaran, Datuk Yusuf memesan dan menyimpan stok berkenaan tiga bulan lebih awal dan sebaik saja musim perayaan tamat, beliau mula memesan stok untuk menyambut Ramadan tahun depan.

Datuk Yusuf (kanan) lebih suka pendekatan Hands-On dan bersemuka dengan pelanggan

Prinsip utama dalam hidup Datuk Yusuf ialah beliau tidak suka bekerja dengan orang lain atau bergelar pekerja tetapi lebih suka menjadi bos biarpun terpaksa melalui pelbagai kesukaran dan pengalaman pahit.

“Dalam menjual kurma, kita perlu membuat penjenamaan dan teknik pembungkusan yang elok. Apabila ada jenama, orang mudah kenal produk sebelum membelinya, malah saya menitikberatkan aspek kualiti kerana keutamaan kami ialah kepuasan pelanggan,” kata Datuk Yusuf.

Datuk Yusuf bersama pelanggannya

“Saya juga memberi jaminan kepada pelanggan, kurma yang rosak boleh diganti dengan kurma yang lain,” katanya yang boleh dianggap sebagai satu daripada pengimport terbesar produk makanan di rantau Asia kerana kebanyakan produknya diimport dari lebih 30 negara.

Tibanya menjelang Ramadan beliau sibuk membekalkan kurma kepada peniaga selepas mendapat banyak bekalan kerana sesuai dengan musim kurma pada Ogos, September dan Oktober.

Walaupun sibuk menjalankan perniagaan, kata Yusuf, beliau tidak pernah lupa untuk memberi bantuan kepada golongan kurang bernasib baik.

“Kita kena bantu orang susah sebab saya rasa seronok apabila mampu mengurangkan beban mereka, kalau ada lebih kita kena bersedekah dan beringat bahawa rezeki dikurniakan Tuhan,” katanya.

Yang penting, menurut Datuk Yusuf, seseorang perlu tahu tahap mana kemampuan mereka untuk bersaing dalam perniagaan yang penuh cabaran dan berliku-liku meskipun sedar kadangkala pesaing sanggup membuat apa saja dalam perniagaan mereka.
 Safia, adalah salah satu produk yang terlaris di bawah jenama Yusuf Taiyoob

“Selain itu kita perlu bersyukur dengan rezeki diberikan Allah dan jangan cepat lupa diri,” katanya yang sentiasa merancang bentuk jenis iklan yang mahu disiarkan setiap kali menjelang Ramadan,” katanya lagi.
Keluarga adalah segala-galanya bagi Datuk Yusuf Taiyoob. Kelihatan Waseem, 10, Safina, 4, isteri Datin Yusnita Ramli dan Safiya, 7, iaitu nama tiga jenis kurma yang mengambil sempena nama anak-anaknya.


“Rupa-rupanya nama kurma adalah sempena dengan nama anak-anak beliau!! wahhhh!!”

P/S: Kisah Datuk Yusuf Taiyoob nie memperlihatkan yang kejayaan akan datang hasil pengalaman daripada kegagalan.

INFO
> Syarikat pertama ditubuhkan ialah Yusuf Cosmetic pada 1979. Selepas dua tahun beroperasi, syarikat pertama ditutup dan menubuhkan Yusuf Taiyoob Sdn Bhd (1988).
>Membekal 100 produk makanan dan 35 jenis kurma.
> Produk diimport dari Asia Barat, Eropah dan Amerika Syarikat sebelum dieksport menggunakan jenama Yu Ta ke negara jiran termasuk Indonesia, Thailand, Singapura dan Brunei.

INFO KURMA
> Nama saintifik kurma ialah phoenix dactylifera L.
> Mengandungi karbohidrat tinggi dan membekalkan tenaga kepada manusia.
> Boleh dijadikan jem, sirap dan halwa.
>Kurma yang ada di pasaran antaranya kurma nabi, kurma madu, kurma merah dan kurma ajwa.
> Selain kaya zat besi, kurma kaya kalium yang berfungsi menstabilkan tekanan darah dan mencegah risiko lumpuh separuh badan.
> Pengambilan kurma boleh mengurangkan panas badan.
> Boleh meningkatkan daya pemikiran kanak-kanak.
> Kurma kaya zat besi, kalsium, fosforus, sodium, potasium, vitamin A dan C.

RUJUKAN
http://ceritausahawan.blogspot.com/2012/01/kisah-kejayaan-yusuf-taiyoob-raja-kurma.html
http://don87jb.blogspot.com/2012/07/kenali-siapa-yusuf-taiyoob.html
http://miazarraannur.blogspot.com/2012/08/kisah-taukeh-kurma-yusuf-taiyoob.html
http://www.hafizizain.com/kisah-kejayaan/kisah-menarik-jutawan-kurma-yusuf-taiyoob.html
http://sumijelly.com/2013/06/26/syyhhhhh-yusuf-taiyoob/
http://harizamrry.com/2009/09/15/yusuf-raja-kurma/
http://www.suzie284.com/2010/08/kalau-sebut-kurma-uolls-ingat-saper-me.html 

Popular Posts

 
Design by Wordpress Theme | Bloggerized by Free Blogger Templates | free samples without surveys